Salah sebuah gunung yang sangat masyhur di negara kita ialah Gunung Ledang. Gunung ini terletak di negeri Johor. Nama gunung ini begitu masyhur kerana terdapat sebuah cerita legenda berkaitannya. Kononnya, pada suatu zaman dahulu di atas gunung itu tinggal seorang puteri yang jelita. Namanya terkenal sebagai Puteri Gunung Ledang.
Orang-orang kampung yang pergi mencari hasil hutan di gunung itu, sekali-sekala pernah terserempak dengan Puteri Gunung Ledang. Kadang-kadang orang terserempak puteri itu menyamar sebagai perempuan tua.
Puteri Gunung Ledang sangat baik hati. Dia selalu memberikan makanan dan menolong orang yang tersesat jalan. Namun, bukan semua orang berpeluang bertemu dengan Puteri Gunung Ledang. Dia hanya muncul sekali-sekala sahaja, terutama untuk membantu orang yang berada dalam kesusahan.
Oleh sebab itu, tidak hairanlah, jika nama Puteri Gunung Ledang menjadi sebutan di mana-mana.
Sultan Mahmud Syah yang memerintah di negeri Melaka pada masa itu juga turut mendengar khabar tentang Puteri Gunung Ledang. Baginda bercita-cita ingin mengahwini Puteri Gunung Ledang. Baginda lalu memberitahu hal itu kepada para pembesarnya."Pergilah beberapa orang daripada kamu ke Gunung Ledang itu. Beta mahu kamu mencari dan meminang Puteri Gunung Ledang. Beritahulah kepada Puteri Gunung Ledang bahawa beta mahu menjadikannya sebagai permaisuri beta," titah Sultan Mahmud.
Beberapa orang pembesar Melaka segera pergi ke Gunung Ledang. Salah seorang daripada mereka ialah Tun Mamat. Berhari-hari lamanya mereka mendaki gunung itu dengan segala susah payah. Puas mereka cuba mencari, namun Puteri Gunung Ledang tidak ditemui.
Tun Mamat cuba berjalan seorang diri untuk mencari Puteri Gunung Ledang. Akhirnya, Tun Mamat berjaya bertemu dengan Puteri Gunung Ledang. Kawasan tempat tinggalnya sangat indah kerana penuh dengan pelbagai jenis bunga.
Tun Mamat lalu menyampaikan titah daripada Sultan Mahmud itu. Puteri Gunung Ledang enggan menjadi permaisuri Sultan Mahmud. Tetapi dia tidak tergamak untuk menolak pinangan itu. Oleh yang demikian, dia memberikan beberapa syarat.
"Jikalau Sultan Mahmud dapat memenuhi semua syarat tersebut, barulah saya bersetuju menjadi permaisuri baginda," kata Puteri Gunung Ledang kepada Tun Mamat. Tun Mamat bergegas pulang ke Melaka. Beliau lalu memberitahu hal itu kepada Sultan Mahmud.
"Apakah syarat-syarat yang dipinta oleh Puteri Gunung Ledang itu?" Sultan Mahmud ingin tahu.
"Puteri Gunung Ledang mahukan sebuah jambatan emas dibina dari Kota Melaka ke Gunung Ledang, setempayan air pinang masak, setempayan hati nyamuk, setempayan hati kuman, semangkuk darah tuanku, dan semangkuk darah putera Raja Melaka," jelas Tun Mamat.
Termenunglah Sultan Mahmud mendengar segala syarat peminangan yang diberitahu oleh Tun Mamat.
Setelah berfikir panjang, akhirnya Sultan Mahmud bertitah, "Segala syarat itu jika beta mahu, nescaya beta mampu menunaikannya. Tetapi syarat untuk mendapatkan semangkuk darah anakanda beta, tiada sanggup beta menunaikannya. Beta tidak sanggup mengambil darah anakanda beta sendiri."
Semua pembesar berdiam diri mendengar kata-kata itu.
"Tidak mengapalah, wahai Tun Mamat! Beta batalkan hasrat untuk meminang Puteri Gunung Ledang itu," titah Sultan Mahmud lagi. Dengan demikian, tidak jadilah Sultan Mahmud meminang Puteri Gunung Ledang. Baginda tidak sanggup mengorbankan nyawa anakanda kesayangannya.
Selepas peristiwa itu, tiada seorang pun dapat bertemu dengan Puteri Gunung Ledang lagi.
Monday, July 20, 2009
PAST AND OLD STORY
Posted by alicecutegurlz at 9:46 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment